An End Is A New Beginning, A New Life And A Life To Remember

Wednesday, October 29, 2008

Apakah Aku Lupa Siapa Diriku Dan Dilemparkan Dengan Pilihan

Sekali lagi aku tertampar oleh kata-kata.
Apakah manusia itu seperti aku yang hanya mengambil kata sekadar kata yang hanya enak dilafazkan. Tidakkah ia mempunyai makna lahiri dan batini.
Menjiwa setiap kata adalah lebih dari maknanya. . . dari akal dengan ilmu, dari hati dengan hikmah dan dari lidah yang membahaskan keindahannya. Bukan sekadar keindahan kata tetapi keindahan yang lahir dari dalam diri manusia itu...

Masih lagi aku buta untuk melihat, masih lagi aku tuli dari mendengar masih lagi aku bisu untuk berkata-kata.

Kerana menemukan siapakah yang melihat, mendengar dan ... siapakah yang berkata-kata itu ?

Rentetan dari kehendak dan kemahuan manusia yang berbagai-bagai, sesungguhnya aku tidak mampu untuk memenuhi semua kehendak. Lantaran itu aku menghindarkan diri dari semua kehendak dan kemahuan yang tidak mampu aku penuhi. Biarpun aku terasing dengan duniaku sendiri... aku cuma manusia biasa yang masih banyak kekurangan. Dan lagi cuma aku tidak akan pernah selamanya mampu memenuhi kehendak dan keinginan manusia.

Sahabatku, sekalipun aku lahir dari keturunan raja dari kayangan. Selagi aku hidup dibumi ini, darahku masih lagi merah, sungguhpun aku mengucapkan bahasa yang paling indah dari segala peradaban manusia - aku masih lagi manusia yang banyak kelemahan dan kekurangan. Dan kerana itulah aku masih lagi mempunyai kekuatan dan ketabahan untuk terus hidup.

Aku berharap aku masih dan selamanya sedar aku adalah manusia yang hidupku hanya sekali. Untuk apa aku menginginkkan seluruh alam ini dicurahkan kedalam diriku tetapi aku masih lagi angkuh menginjak bumi menongkah langit... kerana dibumi jua jatuhku.

Jadi, untuk apakah aku meletakkan segala persyaratan didalam persahabatan; yang akhirnya membelenggu diriku sendiri ? Yang akhirnya menimbulkan penyesalan yang mendalam jauh di lubuk hati ?

Aku adalah manusia yang berbahagia kerana memiliki lingkaran rakan taulan yang sering memberikan aku pengajaran tentang manusia dan kehidupan ini. Dan aku hargainya. Dan diantaranya menjadi sahabatku yang sejati.

Tetapi masih ia disaat ini membuntukan fikiranku dengan berbagai macam persoalan yang masih hanya satu. Untuk apa aku disini dan masih lagi sendiri ?

Terimalah manusia itu seadanya . . .
Aku telah cukup teruji oleh setiap perkataanmu. Kiranya sahabat yang engkau inginkan, dadaku masih terbuka luas seperti mana alam semesta ini dibukakan untuk kita semua... Tapi aku bukan persinggahan hanya kerana pilihan. Dan aku sering lupa bahawa aku ini hanya manusia.

Terima Kasih Andre, kerana mengajarku tentang manusia dan sekaligus mengingatkan aku siapa diriku...
Sungguhpun kita hanya kenal dalam jangkamasa yang cukup singkat semalaman cuma, tanpa bersua wajah. Engkau telah banyak mengajariku untuk mengenali diriku..

Dan aku terpaksa meninggalkan segala impian dan kehendakmu itu, lantaran aku tidak mampu untuk memenuhinya..

No comments: